Aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman (KDA FC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman semalam telah menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.

Mereka menyifatkan ini adalah antara perlawanan Liga Malaysia yang berkualiti disajikan oleh kedua-dua pasukan selepas Kedah menampilkan aksi memukau dengan mengikat Harimau Selatan 3-3.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turut meninggalkan satu komen di ruang instagram rasmi KDA FC selepas tamat perlawanan tersebut.

Beliau berharap skuad kendalian Nafuzi Zain itu dapat slot beraksi di Asia dengan meraih kedudukan tempat kedua Liga Super musim ini.

Pasukan yang bergelar Naib Juara Liga Super 2023 berpeluang beraksi dalam pertandingan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024/25 selepas JDT muncul sebagai juara Piala FA 2023.

“Mudah-mudahan ke Asia. Semoga menang beberapa baki perlawanan liga,” tulis TMJ di laman instagram KDA FC.

Pada aksi yang cukup sengit tersebut, Kedah mendahului 2 gol hasil tandukan Ifedayo Olusegun pada minit ke 35 sebelum kapten pasukan, Manuel Ott menambah gol kedua pada minit ke 49 menerusi rembatan leret hasil hantaran cantik Manuel Hidalgo.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain JDT yang bangkit menyamakan kedudukan menerusi Corbin Ong selang 3 minit kemudian dan pemain importnya, Heberty Fernandes yang merembat masuk pada minit ke 55.

Pemain sayap prolifik, Arif Aiman kembali meletakkan JDT di depan pada minit ke 73 hasil rembatan kencang di bahagian kiri gawang Kedah sekali gus menjadikan kedudukan berubah kepada 3-2.

Kedah bagaimanapun melakukan kejutan pada minit akhir perlawanan apabila pemain gantian, Amirbek Juraboev menyudahkan hantaran daripada Manuel Hidalgo bagi menyamakan kedudukan 3-3.

Keputusan seri itu bermakna JDT terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk bergelar juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas mengumpulkan 61 mata dalam 21 perlawanan yang diharungi musim ini.

Hanya berbaki 5 perlawanan, Kedah kini mengutip 44 mata dan berpeluang memintas pencabar terdekat, Selangor yang berada di kedudukan kedua dengan 49 mata.